Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 19 Januari 2012

Kehidupan Remaja Melayu Kian Longlai


Dewasa kini memperlihatkan hilangnya kesopanan tatasusila anak-anak melayu khususnya golongan remaja. Inilah bencana besar yang perlu dihadapi oleh semua pihak dalam era globalisasi masa kini. Tewasnya jiwa dan raga golongan ini pada kemashuran teknologi-teknologi kuasa asing sehingga membuatkan diri mereka menjadi lupa daratan bahawasanya mereka adalah ikon yang akan mentadbir negara Malaysia pada masa depan. Kemusnahan ini telah dipertontonkan bertapa semua pihak harus memainkan peranan penting dalam membawa golongan seperti ini pulang ke landasan yang betul. Ketewasan mereka kepada kedatangan teknologi kuasa asing telah menjadikan golongan ini mudah terpengaruh di mana akhirnya menjerumuskan diri mereka ke dalam lembah kehancuran. Tahun 2011 sahaja statistik dikeluarkan bahawa hampir separuh golongan remaja berusia 12 tahun ke atas melakukan salah laku jenayah di bawah umur. Disebabkan itu kerajaan telah klasifikasikan kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini perlu dipandang serius oleh semua pihak. Bahana teknologi maklumat yang dipelopori kuasa asing telah membawa mereka ke daerah yang jauh meyimpang dari ajaran Islam. Sebagai langkah mencegah, kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar baharu bagi menagani masalah berbangkit seperti bengkel mengendalikan komputer, program remaja nadi negara dan lain-lain. Sementara itu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), turut duduk semeja bagi membincangkan mekanisme lain untuk membanteras salah laku remaja ini. Antaranya juga memanjangkan waktu pengajian kelas fardu ain di setiap sekolah seluruh negara. Pada hemat saya, bahawasanya sekolah-sekolah seharusnya lebih efektif dalam menangani masalah ini. Sudah tiba masanya matapelajaran dakwah perlu dijadikan subjek penting kepada pelajar beragama Islam khususnya, ini secara tidak langsung akan menyumbang kepada pembentukan akhlak dan jiwa yang mantap kepada golongan terbabit. 


Konklusinya, semua pihak harus mengambil bahagian dalam membanteras jenayah remaja yang kian menular, tujuanya hanyalah menyelamatkan akidah mereka dari tersasar jauh dalam ragam kehidupan dan membawa mereka kembali dalam kehidupan yang bercirikan Islam. Sudah pasti tenaga-tenaga muda amat diperlukan dalam menuju wawasan 2020 yang hanya berbaki beberapa tahun sahaja lagi. Semestinya remaja yang gagah dan pintar amat diperlukan oleh Islam dalam menerajui kepimpinan negara suatu hari nanti. Seterusnya memastikan nama Malaysia setanding kuasa asing dari segi ekonomi, pentadbiran, pendidikan, politik serta budaya yang baik untuk terus disegani oleh kuasa-kuasa barat terutamanya. Saya percaya ini semua bukan mudah untuk dicapai dan dibentuk, dan saya berkeyakinan bermula sekarang kita berganding bahu tiada yang mustahil untuk di jelmakan, seperti pepatah arab menyebut "bergerak ada berkat" dan jika niat yang baik itu sudah pasti Allah ta'ala merestui pekerjaan kita semua serta diberkati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...