Jumlah Paparan Halaman

Rabu, 18 April 2012

Biografi Ringkas Al-Habib Umar Bin Hafizd

Habib Umar bin Hafizd
Al-Alamah Habib Umar Bin Hafizd dilahirkan di Tarim, Yaman pada 4 Muharram 1383 Hijrah (27 Mei 1963). Kota Tarim khususnya dan negeri Hadramawat secara amnya terkenal sebagai sebuah tempat yang paling ramai melahirkan para ulama dan auliya'. Di bumi ini juga bersemadinya cucu cicit daripada keturunan Rasulullah s.a.w dan yang pertama dilaporkan sampai bumi tersebut adalah Saidina Isa Bin Ahmad Al-Muhajir.

Daripada zuriat Saidina Isa Al-Muhajir inilah kemudiannya lahir alim-ulama yang terkenal dan mashur di serata dunia dengan ilmu dalam pelbagai bidang seperti Fiqh, Usuluddin, Hadith, Tassawuf, Nahu, dan lain-lain lagi. Sanad ilmu mereka ksemuanya bersandarkan daripada apa yang disampaikan dan diberitahu oleh Baginda Rasulullah S.A.W.

Adapun metode pengajaran dan penyebaran Islam yang dibawa oleh para ulama daripada Tarim ini dikenali sebagai Thariqah Al-Alawiyyah, dimana ianya berpaksikan ilmu, amal, wara', khauf, dan ikhlas. Ini merupakan persyaratan yang harus dipelajari dan mesti menjadi pegangan mereka. Kesan daripada tarbiyyah Thariqah Al-Alawiyyah inilah, agama Islam berjaya dikembangkan dan disebarkan bersandarkan prinsip wasathiyyah, di wilayah-wilayah di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, India, Sri Langka,  Pantai Timur Afrika dan lainnya.

Tradisi keilmuan di bumi Tarim ini kini, diteruskan sehingga hari ini oleh generasi mutakhir, antaranya adalah Adda'ie Al-Alamah Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafizd. Beliau telah banyak menimba ilmu daripada pelbagai ulama di dalam pelbagai bidang ilmu Islam dan antara guru beliau yang utama ialah bapa beliau sendiri iaitu Assyahid Habib Muhammad Bin Salim, bapa mertua beliau Al-Habib Muhammad Al-Haddar dan Habib Salim Bin Abdullah al-Shathry. Bermula pada tahun 1402 Hijrah (1982 M) beliau berulang alik ke Makkah untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada Imam al-Arif Habib Abdul Qadir Bin Ahmad al-Saqqaf, Habib Ahmad Bin Taha al-Haddad, Habib Abi Bakar al-Athas Bin Abdullah al-Habsyi. Seterusnya, beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid Syeikh Muhammad Yassin al-Fadany, dan Muhadthis Sayyid Muhammad Bin Alawi al-Maliki dan para ulama lain.

Di samping beliau menimba ilmu, beliau mula melaksanakan tugas sebagai pendakwah seawal usia 15 tahun. Dan pada tahun 1994, sekembalinya ke bumi Tarim, beliau telah menubuhkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam yang dikenali sebagai Darul Mustaffa. Kini institut tersebut telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang berwibawa dan hebat di dalam ilmu-ilmu Islam antaranya Hadith, Tafsir al-Quran dan lain-lain. Ditambah dengan pengiktirafan daripada Universiti al-Azhar Mesir, Institut ini semakin dekenali oleh dunia sehingga mempunyai pelajar daripada pelbagai pelusok dunia antaranya Malaysia, Singapura, Indonesia, Mesir, Afrika, Eropah, Pakistan, Austarlia, dan lain-lain.

Namun, di dalam kesibukan beliau mengurus dan membimbing pelajarnya, beliau masih lagi berkesempatan di dalam melaksanakan dakwahnya. Kini dakwah beliau bukan lagi berpusat di Tarim, tetapi seluruh dunia. Antara tempat yang sering dikunjungi beliau hampir setiap tahun ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Australia, Sri Langka, Mesir, negara-negara Eropah termasuk Eropah timur, Amerika Syarikat, Kanada, India, Pakistan dan Afrika.

Beliau telah dipilih dan menduduki ranking 37 bagi tokoh muslim yang berpengaruh di dunia oleh buku 500 Most Influential Muslims, dan kedudukan yang ke 33 dari 100 Most Influential People In The World Today oleh Majalah Forbes. Manakala Majalah Times pula memilih beliau sebagai manusia yang ke 35 paling berpengaruh didunia (100 Most influential person 2011). 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...